Tuesday, September 21, 2010

Kisah semalam..

Aku duduk di beranda sendirian, tiba-tiba terasa ingin mengambil angin malam. Kedinginan malam ini menusuk sehingga ke tulang hitamku. Sudah hampir 5 tahun aku tidak menjejakkan kaki ke sini,tempat yang menyimpan seribu satu kenangan yang terindah yang sering aku ingati terutama ketika aku menghadapi saat-saat getir dalam hidupku. Aku melemparkan pandangan ke sekeliling rumah ini, cuba mengumpul semula saki-baki memori itu. Lantas mataku tertancap pada sebuah pondok usang berdekatan rumahku. Tiba-tiba ingatanku seperti hanyut, terbawa kepada semua kenangan yang amat aku rindui.
“Ija bangunlah, matahari dah tinggi tu,” nenek menggoncang tubuhku yang masih lagi membatu dikatil. Liat sungguh rasanya untuk bangun awal setelah semalaman tidak tidur, asyik berbual dengan atuk dan abang sambil melihat bintang-bintang di pekarangan rumah. “Kalau Ija tak bangun nek jirus dengan air milo tu,mahu?” nek cuba mengugut aku. Kecut perut juga aku mendengarnya kerana sudah masak dengan perangai nenek aku yang agak garang. Selalunya apa yang nenek kata pasti akan dibuatnya. Mahu tidak mahu aku memaksa diri untuk bangun dan bergegas ke bilik air untuk mandi.
Selepas bersarapan aku mengikut atuk dan nenek ke kebun sayuran nenekku. “Ija,lepas ni Ija ikut atuk pergi menuai padi ya, nek kena cabut kekacang ni dulu, takut nanti lain pulak yang merasa hasilnya,”. Semestinya nenek amat geram dengan kehadiran tikus dan binatang lain yang sering menumpang ‘rezeki’ nenek daripada kebunnya. “jalan tu jangan menyimpang ke mana-mana tau,karang nanti nek menyusul.” Bunyinya seakan satu peringatan kepada aku. Aku hanya mengangguk seakan menurut walaupun pun hatiku sudah terdetik untuk pulang ke rumah. Tidak tahan rasanya hendak berjemur terlalu lama.
Dari jauh aku melihat senyuman datuk menyambut aku ke tempatnya. Padi huma yang hampir setinggi aku berusaha ku redah agar dapat menuju ke sulap di tengah-tengah kawasan padi huma.
“hmm, penat sangat dah?”sapa atuk.
“bolehlah atuk, tapi tiada apapun, Ija ni kuatkan.” Aku ketawa kecil dan tawaku disambut oleh atuk. “Kuatlah sangat kalau bukan nenek yang sibuk buat kerja kat kebun tu.” Atuk mengejek aku.
“alah tuk, Ija pun banyak menolong nenek lah tadi, orang penting lagi tau.”
“Ija tolong apa? Tolong tengoklah tu kan?” atuk sekali lagi mengejek aku. Tawaku semakin kuat mendengar kata-kata atuk. “ Iya tuk, Ija tolong tengok, kalau Ija tiada mesti nenek tak bersemangat tadi.”
2 jam sudah berlalu tetapi kelibat nenek masih tidak kelihatan. Aku mulai merasa malas untuk meneruskan kerja menuai padi yang nenek suruh. “Tuk, Ija nak balik boleh? Penatlah atuk,ingat nak pergi sungai dengan abang,” aku memandang atuk dengan harapan datuk membenarkan. “pergilah, lagipun dah nak siap atuk ni,” jawap atuk dengan selamba.
“Jalan dulu ya tuk, menuai baik-baik ya,”kataku sambil melambai atuk. Sememangnya mudah untuk mendapatkan izin daripada datuk berbanding nenek.
“Ija! Apa Ija buat kat sungai ni? Kan nenek suruh tolong atuk menuai tadi.” Mati kutu aku mendengar suara nenekku yang marah melihat aku memancing dengan abang. “Ija ni pemalas sangat tau, cepat pergi balik menuai padi tu,kalau degil sangat nek bagi rasa batang ubi tu” arah nenekku. Aku masih lagi terpaku di jambatan dengan pancing yang kupegang sejak tadi. Aku hanya berpandangan dengan abang. Tiba-tiba datuk muncul dengan seguni padi di tangannya. “Banyak dapat ikan?” sapa atuk. “Bolehlah atuk, lagipun sekarang da kurang sikit panas kan,”aku tersenyum melihat atuk. Nampaknya, aku berpeluang melepaskan diri daripada nenek kali ini.
“Sudahlah memancing tu, suka sangat Ija ni beralasan tak nak menuai iya,”nenek masih tidak berpuas hati. Tiba-tiba, dush! Joranku terjatuh ke sungai. Aku dan abang berusaha untuk menarik joran itu semula. Atuk hanya ketawa melihat gelagat kami. Tanpa kami sedari, atuk menuju kebelakang kami dan menolak kami ke sungai. “alamak dah jatuh, terpaksalah kamu mandi ni kan,” atuk tersenyum nakal. Aku sudah mengagak pasti atuk sengaja untuk menolak kami. Nenek hanya membisu melihat kami mandi sungai kerana atuk telah membenarkan.
“Ija, balik rumah nenek sekarang,” aku terdiam mendengar suara adikku yang tersekat-sekat.
“Kenapa?” tidak pernah adikku menghubungi aku selama aku bekerja sementara menunggu keputusan SPM.
“Atuk..atuk dah tiada” suara adikku makin sebak kedengarannya. Tiba-tiba duniaku rasa berputar. Berita daripada adikku betul-betul mengejutkan aku. Rasanya baru semalam aku berbual-bual dengan atuk yang datang ke tempat kerjaku.
“Sini rupanya tempat kerja Ija ya, seronok kerja?” Tanya datuk semasa datang ke tempat kerjaku. “Bolehlah tuk, duduk diam di kaunter saja pun, atuk sihat?” aku memandang wajah atuk yang sedikit pucat. “Macam biasalah Ija, sihat orang tua,” Balas atuk dengan senyuman.
“Kerja tu baik-baik tau,” Tiba-tiba ibu mencelah antara kami. Aku hanya tersengih mendengar kata ibu. Sebenarnya ibu kurang setuju dengan kehendakku untuk bekerja selepas SPM, tetapi akhirnya mengalah dengan kedegilanku.
“Okeylah Ija kami jalan dulu ya, dah lapar ni, kan mak?” Mia yang sejak tadi diam,sibuk memerhati keadaan tempat kerjaku memandang ibu.
“Alah, dah alang-alang atuk kat sini baik belanja Ija sekali,” selorohku.
“Pandailah, Ija tu yang patut belanja tau, kan da ber’kerjaya’ sekarang,” atuk mengejek aku. Aku hanya menyambut kata-kata atuk dengan tawa. “memang nak belanja tuk, tapi duit tak masuk lagi,” kataku.
Aku meyalam ibu dan Mia yang kemudiannya keluar. “Ija, ambillah duit ni, tak banyak tapi guna sebaiknya tau,”pesan atuk semasa bersalaman denganku. Sehelai not berwarna biru terselit di tangannya. Aku hanya mengangguk. Sedikit perasaan sebak tiba-tiba menyelinap di benakku.
“Bang, macamana ni? Bas dah tiadalah sekarang,” Aku menghubungi abangku yang kukira masih di Bandar ketika itu.
“Ija pandai-pandailah cari kenderaan sekarang, memang susah nak dapat bas, abang sekarang pun dalam bas ni, dalam perjalanan ke rumah atuk,”jawap abangku. Akhirnya, aku terpaksa menggunakan teksi untuk pulang ke rumah atuk.
Sepanjang perjalanan aku tidak dapat membendung airmataku dari terus mengalir, berita tentang pemergian datuk masih tidak dapat aku terima. Pemandu teksi itu hanya berdiam. Kadang-kadang matanya curi-curi memandangku, barangkali hairan melihat keadaanku. Setibanya di sana, aku turun daripada teksi itu, mencari-cari abangku yang masih belum kelihatan.
“Lima puluh ringgit sahaja dik,” kata pemandu itu. “amboi, mahalnya! Sengaja ambil kesempatan atas orang lah ni,” getus hatiku sendirian. Perkara ini sudah seringkali berlaku di sini. Pemandu teksi semuanya suka mencekik darah,suka hati menaikkan kadar tambang. Sempat aku merungut sendiri dalam sedihku.
Alunan suara orang sedang membacakan surah Al-Fatihah dari ruang tamu rumah. Hatiku bertambah sedih, tuntas aku melangkah naik. Aku melihat sekujur tubuh kaku dilitupi kain putih dikelilingi orang-orang yang sedang membaca. Airmata semakin deras berjatuhan di pipiku.
“Sabar ya, dah sampai waktu untuk atuk kamu kembali kepadaNya,” makcik Lina memeluk aku. Mia terdiam sendirian di sudut bilik. “Mak mana? Macamana boleh jadi begini?” semakin banyak persoalanku yang ingin ku utarakan. “Tadi, nenek kata atuk nak makan, lepas makan atuk baik-baik saja, tak lama lepas tu atuk muntah darah, lepas tu atuk macam susah nak bernafas, lepas tu..” Mia tidak dapat menghabiskan kata-katanya. Airmatanya mulai berjurai kembali. Abangku tiba tidak lama selepas itu. Ketika itu, aku sudah tidak mampu lagi menahan sedihku melihat abangku yang hilang kawalan melihat atukku. Sememangnya kami sudah maklum dengan abang yang menjadi cucu kesayangan atuk selama ini. Abanglah yang paling lama tinggal bersama atuk, hanya ketika abang masuk sekolah rendah baru abang berpisah dengan atuk.
Ibu tiba di rumah dengan beberapa payung hitam dan barang-barang lain bersama ayah. Orang kampung semakin ramai tiba di rumah kecil atuk, aku keluar daripada rumah itu, tidak sanggup aku berlama melihat atuk terbaring kaku. Aku duduk di luar rumah bersama adikku, masing-masing membisu, cuba melayan hati sendiri. Tidak lama selepas itu, ibu memanggilku ke dalam.
“Ija, bersiap sekarang, atas permintaan keluarga atuk dari kampong, jenazah atuk nak di kebumikan di kampung halaman atuk,” suara ibu kedengaran sayu. Aku hanya mengangguk tanda faham.
Dua minggu lalu, aku masih ingat lagi ibu menyuruh aku melawat atuk yang kurang sihat di rumahnya. Atuk memang menghidapi masalah paru-paru sejak dulu lagi, tetapi mungkin atuk seorang perokok tegar, penyakit atuk menjadi semakin parah. Di tambah lagi dengan sikap atuk yang tidak suka menelan ubat-ubatannya sehingga habis membuatkan atuk sering lemah.
Ini adalah kali pertama aku memasak untuk atuk. Selalunya hanya ibu atau Mia yang memasak untuk atuk kerana aku telah menjejaki sekolah menengah berasrama penuh yang membataskan masa untuk aku melawat datuk. walaupun hanya memasak menu yang ringkas sahaja, aku gembira melihat atuk masih ingin bersemangat untuk menjamah masakanku serta menghabiskan ubatnya.
“Ija lepas dapat keputusan nanti nak jadi apa?” pertanyaan datuk tidak dapat aku jawap sepenuhnya. Aku sendiri belum terfikir untuk meneruskan pembelajaranku selepas SPM. Baru aku sedar betapa tidak matangnya aku kerana tidak pernah mempunyai perancangan hidup sendiri. “Sedap tak?” aku melihat atuk yang sudah habis makan membersihkan dirinya. “Tawar sangatlah, tak rasa apa-apapun,” Atuk memang suka mengejek aku. “alah tuk, mak pesan jangan letak garam banyak sangat tadi, nanti atuk lambat sembuh,” aku menjawap sedikit malu mendengar komen atuk. Siapa suruh buang tabiat sangat nak minta komen, rungutku sendiri. “Tuk tak lama lagi siaplah rumah baru ni kan, besarla ruma atuk nanti,” aku sekadar memandang kosong ke arah tapak rumah baru untuk atuk dan nenek.
“Nenek pergi mana tuk? Dari tadi tak nampak,” aku menyedari ketiadaan nenek. “Macam Ija tak biasa, kebun tu kan suami kedua nenek,” aku ketawa mendengaqr kata-kata atuk. “Ija nanti kalau nak kerja jadi macam ibu ya, ajar murid baik-baik ya,” besar sungguh harapan atuk untuk aku menjadi cikgu biarpun sebenarnya minatku bukan kearah itu. Aku hanya tersenyum, “tengoklah dulu,” jawapku.
“Ija kalau atuk dah tiada nanti jangan menangis tau, atuk tak suka tengok cucu-cucu menangis, lagipun Ija menangis darah sekalipun atuk bukannya boleh bangun nak pujuk Ija,” atuk tiba-tiba mengeluarkan kata-kata itu. Aku amat terkejut mendengarnya, walaupun atuk cuma menganggap itu satu gurauan tetapi sukar untuk aku menerimanya. Aku hanya tersenyum pahit mendengarnya,diam tanpa sepatah kata yang mampu diatur untuk membalas gurauan atuk.
“Ahli keluarga terdekat arwah boleh masuk untuk memberi penghormatan terakhir kepada arwah,” salah seorang keluarga atuk di kampung itu memberitahu kami. Aku masuk ke dalam, melihat atuk yang sudah dimandikan dan dikafankan, hanya wajahnya sahaja yang kelihatan. Ibu menangis teresak-esak melihat jenazah atuk. Aku mencium dahi atuk buat kali terakhir, ketenangan wajah atuk membuat aku semakin tidak dapat menahan tangisanku. Ibu yang sedang berbadan dua juga semakin tidak dapat mengawal emosinya. Sebagai anak tunggal yang rapat dengan atuk,sudah pasti sukar untuk ibu menerima kehilangan ayahnya. Ayah memeluk ibu yang mulai meraung dan menangis melihat atuk, aku memeluk adik-adikku yang semakin kuat tangisannya melihat ibu. Pemergian atuk telah membuka fikiranku yang selama ini terkurung dalam dunia remaja di sekolah yang lebih banyak memikirkan keseronokan hidup.
Melihat jenazah atuk diturunkan ke liang lahat membuat aku berfikir, bilakah masaku tiba? Adakah aku sudah bersedia untuk menghadapi semua ini? Sempatkah aku menjangkau usia atuk nanti? Adakah yang ingin menangisi pemergianku sebegini? Terlalu banyak persoalan yang menerjah mindaku. Sesungguhnya pemergian atuk yang tidak diduga meninggalkan kesan yang mendalam di hatiku. Tiada lagi insan tempat aku mengadu, bergurau dan memberi nasihat-nasihat berguna kepadaku, sekelip mata sahaja atuk pergi meninggalkan kami semua. Hanya memori bersama atuk masih bisa aku genggam untukku kenang sepanjang hidupku, Memori yang tidak mampu aku beli dengan apapun.
“Ija ni dah mengigil kesejukan pun tak nak masuk lagi? Panjangnya mengelamun sendirian kat luar tu ya,” nenek menegur aku yang sejak tadi sendirian melayan perasaan. “Nek, rumah lama tu masih boleh masuk? Dah tiada orang tinggal kan?” aku memandang nenek. “ya, semenjak rumah baru ni siap tak ada orang dah tu, nek ingat nak buat tempat letak barang-barang lamalah,” jawap nenek. “nek, Ija rindukan atuk,” tiba-tiba kata itu keluar. Aku tidak sepatutnya berkata begitu, sudah tenang di sana ya pasti nenek lebih merindui atuk. “nenek pun Ija, sunyi rasanya hidup sendiri ni, kita doakan atuk,” nek memeluk bahuku. Aku tersenyum melihat nenek.
“Pergilah tidur Ija, esok Ija dah nak balikkan? Mak kata tak lama lagi Ija nak mula mengajar,” kata nenek. Aku mengangguk dan mengatur langkah meninggalkan beranda itu. “Terima kasih atuk sebab mematangkan Ija, Ija janji akan jadi guru yang baik dan buat atuk bangga, rindu atuk,” bisik hatiku. Malam itu, aku tidur bersama memori-memori indah bersama atuk. Semoga atuk akan sentiasa dicucuri rahmat dariNya. Amin.